Bersukan Bersama Deen Headline Update

Daya Tahan Kardiovaskular "Jantungku Sihat"


 Daya tahan kardiovaskular merupakan salah satu komponen kecergasan fizikal berasaskan kesihatan yang bertujuan untuk menguji daya ketahanan fizikal seseorang individu dalam jangkamasa yang panjang. Daya tahan kardiovaskular diterjemahkan sebagai keupayaan sistem peredaran darah dan sistem jantung membekalkan oksigen kepada individu agar dapat melakukan aktiviti yang berterusan. Faria (1970) menyatakan daya tahan kardiovaskular adalah berkadaran dengan ketinggian intensiti latihan yang dilakukan oleh individu, iaitu semakin tinggi tahap latihan yang dilakukan semakin tinggi tahap kecergasannya.

 
Bagi mencapai tahap kecergasan ini, setiap individu perlu melaksanakan aktiviti-aktiviti fizikal mengikut kemampuan dan kaedah masing-masing. Mereka yang mempunyai tahap kecergasan tinggi khususnya kecergasan kardiovaskular akan terhindar dari pelbagai masalah. Misalnya penyakit-penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan lain-lain lagi. Menurut Jackson dan Pollock (1973), melalui aktiviti-aktiviti kecergasan ini, individu dapat mengatasi masalah kesihatan yang berkaitan dengan ketegangan mental, gangguan fikiran, sakit jantung, tekanan darah tinggi, sakit otot dan sakit belakang.
Selaras dengan penjelasan tafsiran tersebut, Sharkey (1990) menyatakan bahawa kecergasan fizikal merupakan aspek-aspek yang berkait dengan prestasi jantung, peparu dan otot-otot badan. Selain itu, disebabkan kecergasan fizikal melibatkan perlakuan manusia pastinya ia mempengaruhi kualiti minda seperti kesedaran minda dan kestabilan emosi. Kualiti perspektif kesihatan ini harus dimiliki oleh seseorang ahli sukan termasuklah pemain bola sepak (Beck, 1991; Hazeldine, 1992). Walaupun perkembangan fizikal dipengaruhi oleh umur, jantina, tabiat senaman dan amalan pemakanan, kecergasan yang optimum tidak mungkin dicapai kecuali dengan aktiviti fizikal yang efisien (Heyward, 1997).

No comments:

Post a Comment